SELAMAT DATANG KE BLOG KETERAMPILAN MEMBACA KAMI

Saturday, 4 May 2013


PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Pemilihan bahan bacaan sangat penting terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Bahan bacaan yang sesuai perlu dipilih supaya sesuai dengan pelajar dari pelbagai aspek terutama sekali intelek pelajar. Bahan bacaan yang tidak sesuai digunakan oleh guru untuk pembelajaran akan menyebabkan wujud masalah dalam bacaan. Di samping itu, kita sedia maklum bahawa pada masa kini ramai yang menghadapi masalah dalam membaca dan menyebabkan sistem pembelajaran menjadi terhenti. Namun begitu, kita tidak boleh menyalahkan mereka sahaja seperti kecerdasan intelek yang lemah dan banyak lagi walhal kadang kala bahan bacaan yang digunakan itu tidak sesuai diberikan kepada meraka.
          Oleh itu, kebolehbacaan dijadikan salah satu cara untuk memilih bahan bacaan yang sesuai untuk murid. Kebolehbacaan menitik beratkan pemilihan bahan yang akan digunakan oleh guru kepada pelajar. Memetik kata-kata Dale dan Chall (1974), kebolehbacaan merupakan campuran interaksi antara perkara-perkara yang terkandung dalam bahan cetak  yang memberi kesan kejayaan terhadap pembaca. Kejayaan yang dicapai berpunca daripada keupayaannya memahami kandungan bahan yang dibaca, kebolehan membaca dengan pantas dan mendapati bahan tersebut sangat menarik.
          Klare pula menyatakan ‘kebolehbacaan’ digunakan dengan tiga pengertian, iaitu:
a.   Untuk menunjukkan tulisan yang jelas serta mudah dibaca sama ada tulisan tangan atau tulisan ditaip.
b.   Untuk menunjukkan keselesaan membaca kerana menimbulkan minat atau sedap dibaca.
c.    Untuk menunjukkan keselesaan memahami kerana gaya penulisan yang digunakan.
Secara keseluruhannya, kebolehan membaca dapat mengurangkan pelajar yang tidak dapat membaca dan sesuatu bahan berbeza-beza bergantung kepada tahap penerimaan murid.

Faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi dalam kebolehbacaan atau kebolehan membaca. Antara faktor tersebut ialah:
a. Faktor diri pembaca
Kecerdasan mental pelajar dan kebolehan pelajar dalam membaca saling berkaitan kerana individu yang mempunyai kecerdasan mental yang tinggi cepat memahami teks yang dibaca berbanding pelajar yang kecerdasan mental yang lemah. Hal ini demikian kerana pelajar yang cerdas akan memberi perhatian sepenuhnya kepada bahan bacaan semasa proses membaca. Pelajar yang cerdas pastinya dapat mengingati setiap perkara yang dibaca kerana mereka cepat memahami teks yang dibaca. Kajian yang dibuat oleh pakar dalam bidang ini menunjukkan bahawa pelajar yang cerdas mempunyai pemahaman yang sangat baik berbanding pelajar lain. Di samping itu, pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada juga turut membantu pelajar memahami kandungan teks yang dibaca dengan baik.

b. Faktor tulisan
    Penggunaan tulisan juga mempengaruhi dalam bahan bacaan. Tulisan yang baik dan jelas akan menarik minat pembaca untuk membaca bahan tersebut. Pelbagai aspek yang perlu dikaji dalam penulisan dari segi tulisan. Aspek tersebut mengambil kira saiz tulisan, jenis tulisan, kekemasan tulisan, jarak tulisan, warna tulisan, saiz muka surat dan banyak lagi. Aspek tersebut mempengaruhi kebolehbacaan bahan yang ada. Walaupun tulisan yang kemas dan tersusun tetapi jika tulisan tersebut terlalu kecil akan menyebabkan pembaca tidak boleh membaca apatah lagi untuk memahami teks tersebut. Oleh itu, faktor tulisan sangat penting dalam kebolehan membaca.

c. Faktor psikologi
Psikologi merupakan kajian mengenai proses mental dan pemikiran pembaca. Minat dan motivasi pembaca mempunyai peranan yang besar dalam memupuk tabiat serta keupayaan membaca. Minat yang mendalam ke atas bahan bacaan memudahkan seseorang memahami teks tersebut semasa proses membaca berlaku. Guru dapat mendorong pelajar dalam pemupukan minat membaca, iaitu:
                             i.     Menunjukkan kepentingan membaca dalam kehidupan
                          ii.     Menentukan pemilihan bahan, alatan, kaedah, teknik bacaan yang sesuai.
                         iii.     Memberikan ganjaran yang sesuai dalam pembelajaran.
     iv. Menggalakkan aktiviti bercerita dan berkongsi pengalaman daripada bahan bacaan.

d. Faktor pembendaharaan kata
Pembendaharaan kata mempengaruhi kebolehbacaan kerana seseorang yang mempunyai pembendaharaan kata yang kurang akan menyukarkan proses pembacaan kerana pembaca tidak dapat memahami teks tersebut. Di samping itu, Harisson (1980) mengatakan kesukaran teks apabila perkataan yang panjang serta kekerapan perkataan tersebut seperti perkataan “interprestasi” dan sebagainya. Perkataan yang panjang selalunya perkataan yang jarang digunakan dalam teks atau mungkin istilah-istilah tertentu mengikut bidang. Oleh itu, pembaca tidak mengetahui maknanya kerana kekerapan perkataan tersebut dijumpai dalam teks.

e. Faktor komuniti
Komuniti yang berbeza-beza juga memberi pengalaman yang berlainan dalam membentuk pengetahuan asas individu. Bagi membezakan tahap pembacaan. Pembaca perlu menggabungkan pengetahuan yang sedia ada dengan nilai yang ada dalam komuniti dari perspektif yang tersendiri. Sebagai contoh, komuniti yang berada di luar bandar berbeza dengan komuniti yang berada di bandar kerana pengalaman yang dilalui berbeza-beza. Begitu juga, komuniti yang wujud di kawasan setinggan dengan komuniti di kawasan taman perumahan walaupun kedua-duanya berada di bandar. Lebih banyak pengalaman dalam komuniti serta penglibatan dalam aktiviti, semakin kaya pengetahuan latar pembaca.

f.    Faktor ilustrasi dan warna
Ilustrasi dan warna dapat meningkatkan atau menurunkan tahap kebolehbacaan bahan bergantung kepada cara persembahan dan penggunaan dalam bahan bacaan. Ilustrasi dan warna dapat menarik minat pelajar untuk membaca, contohnya nota atau bahan bacaan yang berwarna-warni lebih memberi semangat untuk kita membaca nota tersebut serta mudah untuk menghafal berbanding bahan bacaan yang hanya mempunyai satu warna sahaja. Ilustrasi juga boleh membantu meningkatkan kefahaman pembaca terhadap sesuatu konsep.

g. Faktor sekolah
Persekitaran sekolah mempengaruhi kebolehbacaan pelajar juga. Sekolah yang menyediakan persekitaran yang sesuai untuk membaca akan menggalakkan pelajar untuk membaca dari segi psikologi supaya mereka gemar membaca. Peranan guru dalam mengendalikan bilik darjah sangat mempengaruhi minat membaca, iaitu:
                                  i.          Pemilihan bahan
                                ii.          Jenis soalan yang ditanya
                              iii.          Jenis maklum balas yang diberi
                            iv.          Suasana pembelajaran
                              v.          Dorongan
                            vi.          Pengukuhan yang digunakan.

1 comment:

  1. blog yang menarik dan berinfomasi.. banyak maklumat yang boleh digunakan sebagai bahan rujukan..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...